Monday, August 9, 2010

KENAPA FDI KITA MERUDUM?

BERITA paling hangat masa kini ialah kejatuhan 81 peratus dalam pelaburan langsung asing (FDI) untuk 2009 yang diterbitkan oleh Laporan Pelaburan Dunia (World Investment Report UNCTD) baru-baru ini.

Malaysia hanya memperolehi AS$1.4 bilion untuk tahun itu. Apa yang merisaukan ialah negara kita yang mengalami kejatuhan yang paling tinggi berbanding lain-lain negara dalam ASEAN.

Vietnam mengalami kejatuhan sebanyak 44 peratus, Thailand jatuh sebanyak 31 peratus, Indonesia jatuh 48 peratus, Filipina jatuh 26 peratus dan Singapura meningkat 45 peratus.


Nampaknya Datuk Mustapa Mohamad kenalah membuat lebih banyak pemantauan terhadap  mereka yang bertanggungjawab mempelawa pelaburan asing. Kita dikatakan tidak lagi mahu menarik pelaburan yang berintensifkan buruh kerana kita ingin bergerak ke arah teknologi lebih tinggi.

Pada waktu yang sama kita juga tidak mempunyai tenaga mahir yang mampu menggerakkan industri berteknologi tinggi. Tenaga mahir kita hanya 25 peratus daripada tenaga kerja negara.

Jadi kenalah perhebatkan latihan untuk meningkatkan lebih ramai tenaga mahir. Dan ini akan mengambil masa.

Pada masa ini pekerja asing yang ramai dalam negara kita terdiri daripada mereka yang tiada kemahiran atau taraf kemahiran mereka rendah. Mungkin salah satu jalan sementara kita melatih orang kita untuk jadi mahir, kita bawa masuk pekerja asing yang mahir.

Selain daripada India yang mempunyai ramai tenaga mahir, kita juga boleh melihat ke arah negara-negara yang mengalami kesan buruk daripada kemelesetan ekonomi 2008 yang menyebabkan ramai tenaga mahir yang terpaksa diberhentikan kerja. Ini termasuklah Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.

Apa juga langkah yang telah diumumkan dalam Model Baru Ekonomi dan Rancangan Malaysia Kesepuluh untuk mengatasi masalah kurang tenaga mahir dan kemerosotan pelaburan akan mengambil masa.

Talent Corporation yang ditubuhkan untuk melengkapkan negara dengan tenaga mahir melalui usaha mengajak balik rakyat Malaysia yang sedang bekerja di luar negara akan mengambil masa.

Mereka yang bekerja di luar negara mempunyai sebab mengapa mereka lebih gemar bekerja di luar negara daripada negara sendiri selain gaji yang lebih tinggi.

Ramai yang telah menyatakan kepada menteri-menteri kita bahawa bukannya faktor gaji yang penting tetapi persekitaran dan budaya kerja juga banyak perbezaan.

Walaupun kita dikatakan mempunyai seramai 300,000 rakyat Malaysia yang berkerja di luar negara, kita belum pasti berapa ramai yang sanggup balik dan apa pula jenis galakan yang perlu diberikan untuk memujuk mereka balik.

Persoalan yang berkaitan juga ialah apakah syarikat-syarikat kita mempunyai tempat untuk menampung mereka ini.

Kita juga mempunyai ramai rakyat yang bekerja dengan syarikat antarabangsa di negara kita yang tahap kemahiran mereka begitu tinggi. Mereka ini boleh dikenal pasti dan dipujuk untuk membantu kita.

Walaupun berita kejatuhan yang begitu tinggi itu pedih, apa yang penting saya rasa kita tidak boleh  membiarkan keadaan  ini berterusan begitu. Kita mestilah mengambil langkah-langkah tertentu untuk menangani masalah tersebut.

Sekian lama kita tidak berbuat sesuatu untuk menyusun semula struktur ekonomi kita hanya apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih masalah yang kita hadapi ini diakui dan beberapa langkah untuk mengatasi masalah ini telah pun dirancangkan.

Kini dengan kebebesan yang diberikan kepada Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk bertindak sewajar yang patut bagi menarik pelabur, dijangka masalah birokrasi yang kerap dialami oleh pelabur akan dapat diatasi.

Syarikat tempatan kita pun dikatakan sudah ramai melabur di luar negara. Ini tidak semestinya dipandang sebagai sesuatu yang negatif kerana lebih banyak syarikat kita yang bersifat global, lebih baik juga bagi negara kita selain pendapatan mereka kalau meningkat, bahagian kepada negara kita juga akan meningkat.

Walau apa pun, syarikat kita juga wajar melakukan sesuatu untuk melonjakkan diri mereka ke tahap rantaian nilai tambah yang lebih tinggi dan bergerak ke arah teknologi tinggi dan industri berintensifkan modal.

Matlamat kita untuk meningkatkan pendapatan ke tahap yang lebih tinggi tidak akan tercapai kalau kita masih lagi bergantung kepada industri berintensifkan buruh yang tidak mempunyai kemahiran tinggi!

No comments: