Monday, August 9, 2010

Nazir lebih tahu mengapa FDI penting untuk Najib


Saya ditanya oleh pihak media mengapalah Pelaburan Langsung Asing (Foreign Direct Investment, FDI) begitu penting sangat untuk Malaysia dalam situasi kini, sejurus selepas penglibatan saya dalam Forum Ekonomi Negeri Selangor sempena Majlis Dialog Bajet 2011.  Saya cuba rumuskan di sini jawapan tersebut untuk pengetahuan umum.
Benar, mengikut Laporan Pelaburan Dunia (WIR, 2009), yang diterbitkan baru baru ini oleh Perdagangan dan Pelaburan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCTAD) telah mengesahkan bahawa pelaburan asing langsung (FDI) Malaysia merosot 81% kepada US$1.38 bilion (RM4.43 bilion) pada 2009 daripada US$7.32 bilion (RM23.47 bilion) pada 2008.


Meskipun negara-negara ASEAN juga mengalami penurunan kemasukan FDI, ternyata tidaklah separah Malaysia.  Thailand mendapat pelaburan sebanyak US$4.44 atau RM14.24 bilion sementara Indonesia sebanyak US$2.60 billion atau RM8.32 billion sekaligus meletakkan Malaysia, antara negara tercorot sebagai negara pilihan pelaburan pelabur asing langsung bersama dengan Cambodia, Brunei dan Timor-Leste.  

Vietnam juga mendahului kita sekarang ini.  Keadaan menjadi lebih buruk lagi tatkala diperhatikan bahawa bukan sahaja kemasukan FDI menjunam, pengaliran keluar dana tempatan adalah juga yang terbesar berbanding semua negara ASEAN sebanyak RM25.77 bilion.


Apakah makna semua ini?  Mengapa FDI faktor penting dalam ekonomi negara?
Jawapannya mudah.  Ketika negara tidak mampu lagi melakukan perbelanjaan besar (G-factor, termasuk mengepam ekonomi atau pump-priming) kerana telah terbeban dengan hutang awam (kerajaan) sehingga ke paras 52.6% dari KDNK (RM362 bilion), maka pertumbuhan negara mesti dipacu oleh pelaburan pihak swasta.

Pihak pelaburan swasta ada dua komponen.  Satu pelaburan tempatan dan kedua pihak luar.  Kini apa yang kita tahu ialah bukan sahaja dari luar kurang masuk (FDI) dari dalam pun banyak yang keluar.  Antara lain ini bermaksud, keyakinan terhadap negara sebagai destinasi pelaburan yang baik, belum pulih.

Apabila ini berlaku ia membawa dua kesan besar.  Satu, kesan pada pertumbuhan.  Kerana kekurangan dana untuk memacu kegiatan ekonomi dan pelaburan dalam pelbagai bidang khsususnya pembuatan dan perkhidmatan, maka pertumbuhan 6% yang disasar tidak akan dapat dipacu.  Keadaan akan menjadi lebih buruk apabila permintaan global dan serantau merosot kerana akan menjejaskan faktor Ekspot dalam KDNK.

Lebih parah lagi kalau sentimen pengguna juga turut terjejas.  Terkini laporan MIER (Malaysian Institute of Economic Reserach) turut menunjukkan bahawa indeks sentimen pengguna merosot.  Faktor Penggunaan (Consumption) akan turut memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan.  Penarikan subsidi terkini bahkan pengenalan GST nanti, tentunya akan memburukkan faktor Perbelanjaan khususnya ketika tercetusnya inflasi.

Apabila sasaran 6% pertumbuhan gagal dicapai, ini meninggalkan kesan lansung secara negatif kepada usaha untuk menjana pendapatan per kapita yang tinggi seperti yang diharapkan PM.  

Situasi ini jelas adalah tidak selesa sama-sekali untuk Najib bahkan ini mencemaskan dan berpotensi menyebabkan kesemua "target-makro" dalam RMK-10 tersasar.

Oleh kerana Malaysia adalah sebuah model ekonomi terbuka yang kecil (KDNK sebanyak RM700 bilion) serta bergantung kepada kegiatan eksport maka menghasilkan barangan eksport yang bernilai-tambah tinggi adalah penting untuk mengekalkan dayasaing negara.

Lain kiranya kalau kita mampu memacu pertumbuhan secara permintaan dan dana domestik seperti negara negara Scandinavia yang punya ekonomi kecil seperti Denmark, Norway atau Sweden yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi dengan permintaan domestik.

Untuk memenuhi matlamat pertumbuhan negara, dana untuk pelaburan adalah cukup kritikal.  Dana itu datang dari luar (FDI) atau dari pelabur tempatan.  Kedua-dua ini mengikut laporan UNCTAD ini jelas merosot.

Itulah sebabnya pimpinan Najib dan BN mesti melihat apakah faktor-faktor yang menyebabkan situasi ini berlaku ataukah kita akan kekal dalam penafian seperti yang ditanggapi umum oleh kenyataan adik Najib, Nazir Razak (gambar kanan), boss atau CEO CIMB itu, sebuah Investment Bank yang terulung di negara ini yang banyak mendapat habuan besar dari kegiatan kewangan korporat seperti M&A, IPO, terbitan Bon dan Sukuk dsbnya.

Sementara saya memahami apa yang beliau maksudkan dengan "quality investment" dan "timing"-nya, namun komentarnya itu tidak dapat menyangkal bahawa Malaysia, sebagai destinasi pelaburan, sudah tidak lagi berada dalam "radar utama pelabur" asing dan juga tempatan.
Ada dua bentuk pelaburan asing; satu FDI dan kedua pelaburan "Portfolio" dalam Bursa Malaysia.  Kedua-dua penting.  Yang lebih penting ialah FDI melalui Syarikat Multi-Nasional (MNCs) kerana ianya bersifat jangka-jauh dan terkadang kali membawa perpindahan teknologi disamping menjana pekerjaan.

Namun portfolio atau "hot-money" juga penting dalam Pasaran Saham.  Ia berperanan mengagihkan dana untuk syarikat-syarikat tersenarai (PLCs) untuk membuat pengembangan bisnes dan juga R&D&C dengan suntikan dana yang dilabur oleh pengurus-pengurus dana.  Malangnya aliran masuk dana ke dalam Pasaran Saham juga muram dan akhirnya pelabur institusi tempatan juga yang melabur seperti KWSP, Tabung Haji, KWAP, LTAT dsbnya.

Tidak dapat dielakkan komentar Nazir semacam mahu membela abangnya. Ia agak tampak tak kena atau misplaced, dengan izin.

*Tulisan ini dipetik daripada blog Dzulkefly Ahmad, AJK PAS Pusat, juga ahli parlimen Kuala Selangor.

FDI DI NEGERI PERAK TERTINGGI MASA DIBAWAH PAKATAN RAKYAT!

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah mengeluarkan laporan yang menunjukkan tahap kemasukan pelaburan di negeri Perak untuk 10 tahun dari tahun 2000 sehingga 2009. Tahap tertinggi yang dicapai adalah ketika di bawah setahun pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) pada tahun 2008-2009.

Kenyataan di atas telah dirujuk oleh Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang turut membidas dan menuduh Perdana Menteri dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Kadir yang telah menyebabkan penurunan sebanyak 71.5 peratus jumlah pelaburan di dalam negeri timah itu pada tahun lepas.

Menurutnya lagi, kejadian ’rampasan kuasa’ yang dilakukan oleh BN ke atas kerajaan PR yang memerintah telah memberi kesan kepada tahap keyakinan para pelabur ke negeri itu.

Ngeh yang juga bekas ahli Majlis Mesyuarat Negeri Perak semasa pemerintahan PR itu mendakwa pelaburan masuk ke negeri itu semasa PR menjadi pemegang tampuk ialah RM3.13 bilion walaupun ketika itu krisis ekonomi global mulai rancak memberi kesan. Dengan hanya 2 bulan yang pertama, kerajaan PR telah berjaya melakukan satu transformasi di dalam menarik masuk pelaburan. Kini, pelaburan dalam negeri Perak telah menjunam sehingga RM900 juta sahaja.

Ngeh yakin jumlah pelaburan tersebut boleh dinaikkan lagi sekiranya PR masih memegang kuasa di dalam kerajaan negeri kerana keyakinan para pelabur asing dan tempatan.

Ngeh yang juga ahli Parlimen Beruas juga memberitahu mengenai kemampuan pentadbiran negeri Perak semasa PR telah diperakui oleh laporan Ketua Audit Negara pada tahun lepas. –KLToday.com

MUSTAPHA MOHAMED MASIH MENYOROK SEBAB UTAMA KEJATUHAN FDI!

 
Posted by admin on July 31st, 2010
 
Semasa bercakap di Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar hari ini, Tengku Razaleigh Hamzah telah mengecam Menteri Perdagangan dan Industri, Datuk Mustapha Mohamed yang masih menyorok sebab utama atau berdalih perkara sebenar mengenai kejatuhan pelaburan langsung dari luar negara atau FDI sebanyak 81 peratus pada tahun lepas.

Ku Li menyifatkan Mustapha tidak bercakap benar dan sentiasa mencari alasan-alasan yang remeh lagi lemah bagi menutupi sebab sebanarnya.

Menurut Ku Li, Malaysia hanya mampu menarik pelaburan FDI yang lebih kecil jika dibandingkan dengan negara-negara jirannya kerana pelaksanaan skala pembangunan yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh kerana itu, Malaysia gagal memperolehi pelaburan FDI untuk infrastruktur.

Sebelum ini, Mustapha antaranya memberikan alasan mengatakan bahawa Malaysia tidak berminat untuk mendapatkan pelaburan yang dikategorikan sebagai sektor yang memberi pulangan rendah yang kononnya lebih suka didominasikan oleh ekonomi negara jiran.

Dalam komennya lagi, Ku Li menolak bahawa pelabur asing tidak berminat dengan pasaran negara ini yang dikatakan Mustapha sebagai tepu. Baginya, masalah pokok kepada punca ini ialah keyakinan pelabur yang semakin kurang dengan Malaysia.

Sambil memberi contoh mengambil kira mengapa syarikat seperti YTL terpaksa membina stesen janakuasa di Singapura untuk menyediakan perkhidmatan kepada sektor pembuatan di negara itu. Sekiranya bercakap tentang tepu, mengapa Singapura negara yang kecil masih lagi mampu menarik banyak pelabur di negara itu?

Ku Li menyifatkan kekurangan dana dari FDI bakal membantutkan pembangunan negara. FDI bukan sahaja membawa masuk wang ke dalam negara tetapi juga peluang pekerjaan, latihan, perkongsian teknologi dan kemahiran pembangunan.- KLToday.com

KENAPA FDI KITA MERUDUM?

BERITA paling hangat masa kini ialah kejatuhan 81 peratus dalam pelaburan langsung asing (FDI) untuk 2009 yang diterbitkan oleh Laporan Pelaburan Dunia (World Investment Report UNCTD) baru-baru ini.

Malaysia hanya memperolehi AS$1.4 bilion untuk tahun itu. Apa yang merisaukan ialah negara kita yang mengalami kejatuhan yang paling tinggi berbanding lain-lain negara dalam ASEAN.

Vietnam mengalami kejatuhan sebanyak 44 peratus, Thailand jatuh sebanyak 31 peratus, Indonesia jatuh 48 peratus, Filipina jatuh 26 peratus dan Singapura meningkat 45 peratus.


Nampaknya Datuk Mustapa Mohamad kenalah membuat lebih banyak pemantauan terhadap  mereka yang bertanggungjawab mempelawa pelaburan asing. Kita dikatakan tidak lagi mahu menarik pelaburan yang berintensifkan buruh kerana kita ingin bergerak ke arah teknologi lebih tinggi.

Pada waktu yang sama kita juga tidak mempunyai tenaga mahir yang mampu menggerakkan industri berteknologi tinggi. Tenaga mahir kita hanya 25 peratus daripada tenaga kerja negara.

Jadi kenalah perhebatkan latihan untuk meningkatkan lebih ramai tenaga mahir. Dan ini akan mengambil masa.

Pada masa ini pekerja asing yang ramai dalam negara kita terdiri daripada mereka yang tiada kemahiran atau taraf kemahiran mereka rendah. Mungkin salah satu jalan sementara kita melatih orang kita untuk jadi mahir, kita bawa masuk pekerja asing yang mahir.

Selain daripada India yang mempunyai ramai tenaga mahir, kita juga boleh melihat ke arah negara-negara yang mengalami kesan buruk daripada kemelesetan ekonomi 2008 yang menyebabkan ramai tenaga mahir yang terpaksa diberhentikan kerja. Ini termasuklah Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.

Apa juga langkah yang telah diumumkan dalam Model Baru Ekonomi dan Rancangan Malaysia Kesepuluh untuk mengatasi masalah kurang tenaga mahir dan kemerosotan pelaburan akan mengambil masa.

Talent Corporation yang ditubuhkan untuk melengkapkan negara dengan tenaga mahir melalui usaha mengajak balik rakyat Malaysia yang sedang bekerja di luar negara akan mengambil masa.

Mereka yang bekerja di luar negara mempunyai sebab mengapa mereka lebih gemar bekerja di luar negara daripada negara sendiri selain gaji yang lebih tinggi.

Ramai yang telah menyatakan kepada menteri-menteri kita bahawa bukannya faktor gaji yang penting tetapi persekitaran dan budaya kerja juga banyak perbezaan.

Walaupun kita dikatakan mempunyai seramai 300,000 rakyat Malaysia yang berkerja di luar negara, kita belum pasti berapa ramai yang sanggup balik dan apa pula jenis galakan yang perlu diberikan untuk memujuk mereka balik.

Persoalan yang berkaitan juga ialah apakah syarikat-syarikat kita mempunyai tempat untuk menampung mereka ini.

Kita juga mempunyai ramai rakyat yang bekerja dengan syarikat antarabangsa di negara kita yang tahap kemahiran mereka begitu tinggi. Mereka ini boleh dikenal pasti dan dipujuk untuk membantu kita.

Walaupun berita kejatuhan yang begitu tinggi itu pedih, apa yang penting saya rasa kita tidak boleh  membiarkan keadaan  ini berterusan begitu. Kita mestilah mengambil langkah-langkah tertentu untuk menangani masalah tersebut.

Sekian lama kita tidak berbuat sesuatu untuk menyusun semula struktur ekonomi kita hanya apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih masalah yang kita hadapi ini diakui dan beberapa langkah untuk mengatasi masalah ini telah pun dirancangkan.

Kini dengan kebebesan yang diberikan kepada Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk bertindak sewajar yang patut bagi menarik pelabur, dijangka masalah birokrasi yang kerap dialami oleh pelabur akan dapat diatasi.

Syarikat tempatan kita pun dikatakan sudah ramai melabur di luar negara. Ini tidak semestinya dipandang sebagai sesuatu yang negatif kerana lebih banyak syarikat kita yang bersifat global, lebih baik juga bagi negara kita selain pendapatan mereka kalau meningkat, bahagian kepada negara kita juga akan meningkat.

Walau apa pun, syarikat kita juga wajar melakukan sesuatu untuk melonjakkan diri mereka ke tahap rantaian nilai tambah yang lebih tinggi dan bergerak ke arah teknologi tinggi dan industri berintensifkan modal.

Matlamat kita untuk meningkatkan pendapatan ke tahap yang lebih tinggi tidak akan tercapai kalau kita masih lagi bergantung kepada industri berintensifkan buruh yang tidak mempunyai kemahiran tinggi!

Monday, August 2, 2010

FDI jadi mangsa ekonomi berpendapatan tinggi? Adakah generasi muda pada masa depan pula mencari kerja di Indonesia dan Vietnam, mencari sesuap nasi.

Oleh AINUL ASNEIRA AHSAN DAN NORLAILI ABD.
bisnes@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Kejatuhan mendadak pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia pada 2009 sebanyak 81 peratus kepada AS$1.38 (RM4.42 bilion) berbanding AS$7.31 bilion (RM23.40 bilion) tahun sebelumnya memang begitu mengejutkan.

Ia kerana, kejatuhan itu merupakan kejatuhan terburuk dalam tempoh 15 tahun.

Dunia mengakui 2009 adalah tahun sukar kepada semua ekonomi termasuklah negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah namun ia bukanlah alasan terbaik bagi Malaysia yang kehilangan FDI pada tahap yang membimbangkan.

Belum habis menangisi kehilangan FDI terburuk, Malaysia turut dimalukan oleh 'jiran-jiran tetangga' seperti Indonesia dan Vietnam yang selama ini lebih mundur dari Malaysia.

Di sebalik kemelesetan ekonomi global tahun lalu, Indonesia dan Vietnam masih mampu meraih pelaburan lebih tinggi berbanding Malaysia dengan masing-masing merekod AS$4.877 bilion (RM15.60 bilion) dan AS$4.5 bilion (RM14.4 bilion) FDI pada tahun lalu.

Indonesia hanya kehilangan AS$5.56 bilion (RM17.782 bilion) pelaburan asing manakala Vietnam pula adalah AS$3.55 bilion (RM11.36 bilion).

Sejak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengumumkan Laporan Pelaburan Dunia 22 Julai lalu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) nampaknya begitu susah hati.

Nampaknya MITI semakin tertekan sehingga terpaksa membuat dua kali kenyataan kepada media.

Masakan tidak, MITI dikritik oleh semua pihak yang mempersoalkan kewibawaan kementerian itu yang diterajui oleh Datuk Seri Mustapa Mohamad sehingga kenyataan-kenyataan pedih yang dilemparkan terhadap agensi tersebut didakwa melemahkan semangat seluruh kakitangan.

Mustapa dalam kenyataan akhbar pada 26 Julai lalu memberi alasan aliran masuk FDI menjunam akibat terkena tempias krisis ekonomi global yang menyebabkan ramai pelabur berhati-hati sebelum membuat sesuatu keputusan perniagaan.

Sayangnya, kenyataan itu tidak boleh diterima kerana berdasarkan data tahap kompetitif Malaysia semakin jauh ketinggalan.

Mengambil contoh Thailand, meskipun mengalami krisis politik yang sukar sehingga mengheret rakyatnya berdemonstrasi selama berbulan-bulan, negara gajah putih itu masih mampu merekod FDI lebih tinggi iaitu sebanyak AS$5.94 bilion (RM19 bilion) berbanding Malaysia, sebuah negara yang aman damai.

Mustapa dalam pertemuannya untuk menjelaskan isu itu berkata, salah satu sebab kemerosotan aliran masuk pelaburan kerana Malaysia dalam proses transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Justeru, Malaysia katanya, sukar untuk bersaing dengan negara-negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam yang menawarkan kos buruh yang murah.

Yang menjadi persoalannya, apakah Malaysia rela berputih mata melihat pelabur asing memilih negara lain semasa proses transformasi ini berlaku?

Apakah kerajaan tidak bersedia dengan satu mekanisme yang membolehkan pelaburan terus masuk dan pada masa yang sama melakukan transformasi kepada ekonomi negara?

Atau ini adalah bayaran/hukuman yang patut diterima Malaysia kerana mahu berubah menjadi ekonomi berpendapatan tinggi?

Sedangkan sebagai sebuah negara yang sedang mengorak langkah menjadi negara maju, perkembangan ekonominya tidak harus terbantut oleh halangan-halangan seperti ini.

Kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) menyasarkan pelaburan swasta sebanyak RM115 bilion setahun bagi memastikan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang sekurang-kurangnya enam peratus setiap tahun.

Selain itu, yang turut menjadi perhatian adalah ketidakseimbangan di antara aliran masuk dan aliran keluar pelaburan yang menyaksikan syarikat Malaysia melabur sebanyak AS$8.03 bilion (RM25.55 bilion) di luar negara.

Seorang penganalisis ekonomi berkata, sekiranya tiada tindakan drastik untuk memperbaiki kemasukan FDI, ekonomi Malaysia akan terperangkap selama-lamanya.

Ia kerana, negara-negara jiran terutama Vietnam dan Indonesia begitu agresif meningkatkan pertumbuhan ekonomi masing-masing dengan pendekatan yang holistik.

Dan, Malaysia tidak boleh hanya berpeluk tubuh dengan mengharapkan limpahan ekonomi negara-negara jiran untuk merasai tempiasnya kerana ia tidak akan berlaku.

Sudah tentu kita tidak mahu melihat generasi muda pada masa depan pula mencari kerja di Indonesia dan Vietnam, mencari sesuap nasi.

Friday, April 2, 2010

MEROSOTNYA JUMLAH PELABUR ASING YANG MELABUR DI MALAYSIA.

KUALA LUMPUR, 17 Mac: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa krisis keyakinan terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi punca merosotnya jumlah pelabur asing yang ingin melabur di Malaysia.


Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, kedudukan Malaysia dalam menarik pelabur merosot ke tangga 62 berbanding dengan tangga enam pada tahun 1995.

"Dari segi angka yang disebut Yang Berhormat Menteri, di Asia Tenggara Malaysia 22.1 bilion pelaburan asing dan Singapura 75.7 bilion, Thailand 32.67, Vietnam 27, Indonesia 27.

"Yang membimbangkan bukan soal merosotnya pelaburan asing tetapi hilangnya daya tarikan Malaysia sebagai negara yang dapat menarik pemodal dan pelaburan asing.

"Kita lihat Intra Asia, kita kalah pada Indonesia 27.6 peratus, Thailand 22.8 peratus, Vietnam 26.2 peratus, Malaysia 15 peratus," katanya.

Sebelum itu, Anwar meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed menyatakan sejak liberalisasi beberapa perkhidmatan diumumkan Kerajaan tahun lepas, mengapa nilai pelaburan asing masih terus merosot berbanding beberapa negara jiran.